Powered by Nuffnang

22 December 2010

Malaikat maut dan pisang gorengnya.

Alkisah, Danial (bukan nama sebenar) adalah seorang yang begitu rapat dengan saudara-maranya, baik Paklong, Pakngah, Toklang atau Tokcai sekalipun, semuanya diambil berat. Maka, pada satu hari, hati Danial telah terdetik untuk berjumpa PakChaq nya untuk berbual-bual sambil menikmati pisang goreng dan kopi 'o'. Dalam perjalanan itu, beliau singgah membeli pisang goreng sebanyak RM2. Sampai saja di sana beliau terus duduk berbual mesra dan mengunyah pisang goreng dengan Pakchaqnya. Selepas selesai, beliau pun pulang. Sesampainya di rumah ibunya memaklumkan bahawa Pakchaqnya telah kembali ke rahmahtullah. Beliau begitu terkejut namun redha.
Pada bulan berikutnya, beliau terdetik pula untuk menikmati pisang goreng dengan Toklang nya. Sama seperti yang lalu, mereka berbual sambil menikmati pisang goreng. Apabila selesai saja dan pulang ke rumah, sekali lagi beliau dimaklumkan oleh ibunya tentang Toklang nya yang telah meninggalkan mereka. Alangkah terkejutnya. Mereka adalah orang-orang yang disayanginya. Keluarganya menggelar beliau, malaikat maut.
Maka beberapa bulan kemudian, hati Danial terdetik untuk berjumpa dengan TokNgah Daud nya. Beliau lalu singgah membeli pisang goreng. Tiba-tiba Danial tersentak apabila teringat tentang peristiwa lepas, lalu mengalir lah air matanya. Rasa berat hatinya, namun dia menyakini bahawa itu semua kehendak dan takdirNya. Selepas saja Danial dan TokNgah Daud nya selesai, sayu dan takut menyebulungi hati dan sanubari Danial. "Danial." TokNgah Daud nya memanggil. Danial berpaling. "Terima kasih nak. Kau memang anak yang bagus, selalu menghormati dan melayani orang-orang tua macam TokNgah, uhuk uhuk.." Kata TokNgah batuk-batuk kerana beliau sudah tua sambil tersenyum. Sampainya di rumah ibunya hanya diam. Beberapa minit kemudian, Toksu, Pakcik Kamal, Paklang Idris dan Murad sepupunya, sampai di rumah. Mereka berbual di ruang tamu bersama ayah Danial. Danial juga turut serta. Dalam nada sebak Paklangnya berkata, "Danial, terima kasih sempurnakan hajat Tokngah. Dah 2 hari Tokngah ada menyebut teringin nak merasa pisang goreng. Nampaknya kamu sangat memahami. Janganlah kamu mengambil hati orang menggelar kamu malaikat maut ya" Danial hanya mengangguk kelesuan.
Beberapa bulan kemudian, Danial terdetik untuk menikmati pisang goreng. Petang itu, dengan air kopi yang dibuat ibunya, beliau menghirup sambil menikmati angin yang tenang dan damai..

No comments: