Powered by Nuffnang

22 December 2010

Malaikat maut dan pisang gorengnya.

Alkisah, Danial (bukan nama sebenar) adalah seorang yang begitu rapat dengan saudara-maranya, baik Paklong, Pakngah, Toklang atau Tokcai sekalipun, semuanya diambil berat. Maka, pada satu hari, hati Danial telah terdetik untuk berjumpa PakChaq nya untuk berbual-bual sambil menikmati pisang goreng dan kopi 'o'. Dalam perjalanan itu, beliau singgah membeli pisang goreng sebanyak RM2. Sampai saja di sana beliau terus duduk berbual mesra dan mengunyah pisang goreng dengan Pakchaqnya. Selepas selesai, beliau pun pulang. Sesampainya di rumah ibunya memaklumkan bahawa Pakchaqnya telah kembali ke rahmahtullah. Beliau begitu terkejut namun redha.
Pada bulan berikutnya, beliau terdetik pula untuk menikmati pisang goreng dengan Toklang nya. Sama seperti yang lalu, mereka berbual sambil menikmati pisang goreng. Apabila selesai saja dan pulang ke rumah, sekali lagi beliau dimaklumkan oleh ibunya tentang Toklang nya yang telah meninggalkan mereka. Alangkah terkejutnya. Mereka adalah orang-orang yang disayanginya. Keluarganya menggelar beliau, malaikat maut.
Maka beberapa bulan kemudian, hati Danial terdetik untuk berjumpa dengan TokNgah Daud nya. Beliau lalu singgah membeli pisang goreng. Tiba-tiba Danial tersentak apabila teringat tentang peristiwa lepas, lalu mengalir lah air matanya. Rasa berat hatinya, namun dia menyakini bahawa itu semua kehendak dan takdirNya. Selepas saja Danial dan TokNgah Daud nya selesai, sayu dan takut menyebulungi hati dan sanubari Danial. "Danial." TokNgah Daud nya memanggil. Danial berpaling. "Terima kasih nak. Kau memang anak yang bagus, selalu menghormati dan melayani orang-orang tua macam TokNgah, uhuk uhuk.." Kata TokNgah batuk-batuk kerana beliau sudah tua sambil tersenyum. Sampainya di rumah ibunya hanya diam. Beberapa minit kemudian, Toksu, Pakcik Kamal, Paklang Idris dan Murad sepupunya, sampai di rumah. Mereka berbual di ruang tamu bersama ayah Danial. Danial juga turut serta. Dalam nada sebak Paklangnya berkata, "Danial, terima kasih sempurnakan hajat Tokngah. Dah 2 hari Tokngah ada menyebut teringin nak merasa pisang goreng. Nampaknya kamu sangat memahami. Janganlah kamu mengambil hati orang menggelar kamu malaikat maut ya" Danial hanya mengangguk kelesuan.
Beberapa bulan kemudian, Danial terdetik untuk menikmati pisang goreng. Petang itu, dengan air kopi yang dibuat ibunya, beliau menghirup sambil menikmati angin yang tenang dan damai..

20 December 2010

Selawat TAFRIJIYAH

Selawat TAFRIJIYAH atau dipanggil Selawat NARIYAH




"Ya Allah! Limpahkanlah rahmat yang sempurna dan berilah kesejahteraan yang sempurna kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang menjadi sebab terlepasnya sesuatu yang masih mengalami jalan buntu dan terbukanya kesempitan serta didatanginya semua hajat dan diperoleh semua pemberian serta Husnul Khatimah (sempurna akhir hayatnya) dan diturunkan siraman mendung hujan lantaran keagungan baginda. (Dan limpahkanlah rahmat dan salam) kepada keluarga baginda dan sahabat di dalam setiap kerlipan mata dan nafas dengan bilangan semua yang diketahui oleh-Mu, wahai Zat yang menguasai seluruh alam".

Selawat Nariyah disebut juga selawat "Tafrijiyyah" yang ertinya terbuka sehingga menjadi lapang. Selawat ini jika diamalkan dapat menghilangkan kesempitan dengan izin Allah SWT. Bagi seseorang yang menginginkan agar kehidupan sehariannya berjalan lancar, jauh dari gangguan dan persaingan sebaiknyalah ia mengamalkan selawat Nariyah dengan membacanya selepas solat fardhu sebanyak yang ia mampu.

Bagi orang yang menghadapi kesempitan atau kebuntuan dalam menyelesaikan apa-apa masalah baik dalam bidang perdagangan atau di dalam menghadapi orang yang berniat jahat maka selawat ini bolehlah dibaca sehingga 4,444 kali.

Kata Imam Addainuri Rahimahullah sesiapa yang membaca selawat ini setiap selepas solat fardhu sebanyak 11 kali yang dijadikan wirid nescaya tidak putus rezekinya dan ia akan mencapai ke derajat yang tinggi. Kata Al_Qurtubi pula sesiapa yang membaca selawat ini setiap hari sebanyak 44 kali nescaya Allah SWT hilangkan dukacitanya dan diluaskan rezekinya dan dibukakan segala peluang berkebajikan dan dikasihi oleh orang ramai.

1. Menurut Imam Ad-Dainuri, barangsiapa membaca selawat ini 11 KALI setiap hari setiap lepas sembahyang lima waktu, REZEKInya tidak putus-putus dan mendapat kedudukan yang tinggi.

2. Menurut Imam Al-Qurtubi, barangsiapa membaca selawat ini 41 KALI atau 100 KALI, ALLAH akan menghilangkan segala dukacita dan dimudahkan segala urusan kehidupan.

3. Barangsiapa membaca selawat ini 313 KALI setiap hari, nescaya akan terbuka beberapa rahsia ghaib.4. Barangsiapa membaca selawat ini 4444 KALI akan tercapai segala cita-cita dan hajat dunia dan akhirat.

19 December 2010

Terasa Hati.

Si Razip mempunyai sensitivi 'ultrahigh' mengalahkan seorang perempuan ayu dan jelita. Alkisah, masa kecil-kecil dulu, arwah ibunya selalu kata, "kalau la kamu anak perempuan senang menguruskan rumah". Itu adalah satu doa. Sepuluh tahun berlalu, jiwa Si Razip mula mengalami kelembutan, mudah tersentuh hati, terasa dan kecik hati macam seorang perempuan cantik. Beliau bernasib baik kerana tidaklah sampai menjadi 'softlan' - lembut dan wangi, kerana rasa itu dipertahankan dari menguasai diri dan pemikiran. Harap-harap ibu-ibu di luar sana tidak berkata seperti itu kepada anak-anak lelaki yang kuat. Masalah yang dihadapi Sang Razip sangat besar, lemah-lembut,sopan santun,jiwa yang lembut macam tuala, mudah terasa, mudah kecil hati, mudah tersentuh, tak seperti lelaki kuat. Beliau berusaha untuk menjadi lelaki sebenar dengan berenang, berlari dan bermain komputer. Bila terasa hati atau merajuk beliau tidak marah kerana beliau faham, itu hanya perasaan semata-mata. Semoga beliau tabah dan menjadi lelaki. Go!Go!Go! (pergi!pergi!pergi!).

07 December 2010

Manusia dipisahkan oleh darjat.

Alkisah, pernahkah anda menonton filem P.Ramlee, Antara Dua Darjat atau Ibu Mertua ku? Ingatkah anda pada babak "Kamu ni kerja apa?","ahli muzik makcik." "Apa?! ahli muzik? pantang keturunanku bermenantukan ahli muzik". Perlukah manusia dipisahkan kerana darjat? Orang kaya, kerabat diraja, ahli politik, ahli nujum, ahli sukan, dan segala-gala darjat di muka bumi ini? Ada sukan orang kaya, makanan orang kaya, pakaian orang kaya, rumah orang kaya,senaman orang kaya pun ada. Untuk apakah adanya darjat? Untuk membezakan apa? Bukankah bila kita mati nanti kita masih ditanam di dalam tanah? Kubur pun digali oleh tukang kubur. Walaupun demikian syukurlah apapun darjat kita, kita masih mampu menikmati coklat Cadburry kerana coklat Cadburry tidak mengenal darjat.

02 December 2010

Sos ada?

Waktu makan tengahari, semua orang sibuk mengadap hidangan masing-masing. Saya cuma berdiri sambil memantau makanan agar cukup. Seorang pegawai datang ke pintu masuk ke tempat masak dan bertanya, "Sos ada?". Namun semua petugas-petugas begitu sibuk tidak memberi sebarang tindak balas terhadap pertanyaan itu. Saya yang berdiri di sebelah beliau mengulangi pertanyaan itu. "Sos ada?". Semua petugas berhenti dan memandang kami berdua. "Sos ada?" Kami serentak bertanya. "Ada, ada, ada, ada" Seorang petugas membalas lalu pergi mengambilnya. Yang lain hanya senyum-senyum dalam kesibukan. Semasa menunggu sos diambil, kami masih suka mengulang soalan pada yang lalu. "Sos ada? Sos ada? Sos ada?". Mereka hanya tersenyum. Sejak hari itu bila saya melalui tempat makan tersebut, saya akan tanya. "Sos ada?" dan mereka hanya tersenyum.