Powered by Nuffnang

12 June 2011

Tanggungjawab berat mendidik anak.

Semua orang mahu anak-anak mereka menjadi anak yang baik, berguna kepada agama, bangsa dan masyarakat. Namun, bukan lah mudah mendidik mereka, kerana salah cara atau terlalu memanjakan mereka akan mendatangkan masalah kepada mereka sendiri kerana mereka tidak dapat berdikari. Di usia bawah 12 tahun kita masih mampu mengubah gaya hidup anak-anak kita ini dengan keluar dari zon selesa. Memang benar, zaman kita dan mereka tidak sama, namun itu bukan bermakna kita perlu mengikut segala kehendak mereka. Saya dan isteri mengalamai masalah tersebut, kerana faktor sekeliling. Apabila berpindah ke tempat baru, suasana baru, persekitaran baru, anak-anak ini akan melatah. Sebagai ibu dan bapa kita perlu menangani dengan baik, dan bukan dengan turut menggelabah.
Mendidik anak- anak merupakan tanggungjawab ibu dan bapa yang sangat berat. Kitalah yang mencorakkan mereka dengan tangan kita. Kita tak perlu terlalu manjakan anak-anak kita, sebagai contoh mereka merajuk dan tidak mahu pergi ke sekolah kerana tidak dapat bermain PSP (PlayStation Portable). Ternyata itu satu ugutan dan ibu bapa tidak perlu menurut kehendak tersebut malah patut bertindak tegas (bukan memukul ya), supaya mereka tahu, dan membuang kemanjaan yang terlampau. Kita patut membawa mereka keluar dari zon selesa. Ini kerana jika mereka terlalu selesa, dan segala permintaan dipenuhi, maka mereka menjadi terlalu bergantung harap, tidak dapat berdikari dan lemah. Mereka akan menganggap kita akan sentiasa menurut kehendak mereka pada setiap masa. Tidakkah kita terfikir jika suatu masa kita tiada, mereka terkapai-kapai kerana sudah terlalu bergantung harap lalu menjadikan mereka lemah untuk meneruskan cabaran hidup. Itulah yang menyebabkan ramai yang telah terpesong ke jalan yang salah untuk menampung keselesaan lampau. Itu menjadi salah kita, kerana kita yang mengajar mereka menjadi manja, lembik dan selalu menangis atas alasan yang remeh.
Memang benar, sebagai ibu dan bapa, kita sangat menyayangi anak-anak kita, namun benarkah cara kita menyayangi mereka. Kita terlalu memberi muka sehingga mereka memijak kepala kita kerana itu yang kita ajarkan kepada anak-anak kita. Itulah yang menyebabkan berlakunya beberapa kes di sekolah, anak kita nakal, tapi kita masih mengatakan anak kita la baik. Maka, perlanggaran disiplin makin berleluasa kerana anak-anak kita tahu ibu-bapa sentiasa memayungi mereka seperti putera-puteri raja.
Maka, kita haruslah mencari intipati terbaik dalam mendidik anak-anak. Penyayang namun tegas, barulah mereka menghormati kita. Biarlah kita digeruni dan disegani. Digeruni kerana tegas, disegani kerana kasih sayang dicurahkan. Seperti ibu dan bapa kita dahulu, memang sangat garang, namu kita sangat mengasihi mereka kerana mereka menjaga kita dengan penuh kasih sayang. Seperti contoh ayah saya, baru dengar bunyi motornya saja dah lari masuk mandi cepat-cepat. Takut memang takut namun itu semua untuk kebaikan kita jugak, bersiap sedia untuk beribadah, buat kerja sekolah dan belajar. Kalau ayah kita buat tidak tahu saja, kita pun malas ibadah, malas belajar lalu jadilah orang tidak berguna. Lihat lah kita sekarang, dengan didikan mereka, kita menjadi orang yang berjaya, dan hanya itu yang mereka mahu, melihat kita berjaya.

Coretan ikhlas.

No comments: